Refleksi Perbukitan

17/Oktober/2008

Mengimbas sekitar awal tujuh puluhan, semasa masih belum sepenuhnya taman perumahan rumah murah di salah sebuah daerah diSelangor disempurnakan pembangunannya, emak menjalinkan interaksi hubungan yang erat dengan seorang nyonya tua di hujung kampung yang mempunyai seorang anak perempuan dan dua anak lelaki.


Lantaran mereka bukan melayu tidak wujud kemesraan di antara penduduk sekitar selain dari hanya beberapa warga tua yang menjadi penduduk asal kampung yang menjadi pemilik tetap tanah di hujung taman perumahan yang akan dibangunkan itu.

Nyonya tua berketurunan cina itu fasih berbahasa melayu.

Keunikannya adalah kebolehan menjahit leher baju kurung melayu dan emak sering memintanya menggunting untuk pesak belikat baju kurung kami. Hasil tangan nyonya tua itu masih segar di ingatan pada keselesaan berlari dengan memakai baju kurung waktu bermain bunga api.


Bertahun-tahun nyonya tua itu menjadi penjahit baju kurung kami dengan upah yang cuma sekitar kurang 10 ringgit.


Pada waktu itu nilai wang kertas kami begitu tinggi sehingga duit-duit syiling upaya membeli ikan sayur dan minyak tanah sebagai bahan bakar lampu gesolin.


Selain itu emak menjadi pembekal utama memberikan lebihan kerak nasi yang dikumpulkan untuk diberikan secara percuma kepada nyonya yang memelihara itik-itik yang dijualkan telor-telor haiwan peliharaannya itu untuk dijadikan telor asin oleh emak sebagai juadah berbuka puasa dan bersahur yang digadingkan dengan masakan ikan sardin.


Satu petang setelah sekian lama berulang ke sekolah dari bandar Klang  ke bandar Kajang yang terkenal dengan sataynya dengan bas setiap hari, kedengaran suara bising di luar di antara emak dan nyonya tua itu.


“Saya punya anak betul-betul marah dengan kamu dua orang,” sambil tangannya menunjuk-nunjuk ke wajah saya dan kakak.


Tecengang dan kegusaran kami melihat kemarahannya.


“Setiap pagi dia kena keluar awal untuk menemankan kamu berdua sehingga mendapatkan bas.”


Setelah lama mengimbas baharulah teringat akan kelibat lelaki yang kerap berada di jalan dan berjalan di belakang kami yang keluar berjalan kaki seawal jam 5 pagi(waktu itu belum ada lampu jalan) bagi mendapatkan bas yang pertama menuju ke Hentian Toshiba Kuala Lumpur dan berjalan kaki sepanjang Petaling Street untuk ke Hentian Pudu Raya bagi mendapatkan bas untuk ke sekolah yang terletak di bandar Kajang.


Untuk ke hentian bas dari rumah jauhnya 1 kilometer. Kebanyakan penduduk yang mendiamai kejiranan perumahan kami adalah dari keturunan cina dan fahamlah kami soal keselamatan yang diperkatakan oleh nyonya tua itu tentang kemarahan anak lelakinya.


Waktu itu wujud kumpulan kongsi gelap orang cina yang aktif secara rahsia, namun seingat saya tidak pernah wujud pergaduhan di antara kami penduduk melayu yang mendiami Kampung Kuantan Klang dengan penduduk cina yang sememangnya mendominasi bandar Klang pada waktu itu.


Sehingga hari ini saya masih berasa berhutang kerana tidak dapat mengucapkan terima kasih kepada anak lelaki nyonya tua itu yang berwajah cengil dan garang tetapi berbudi jasa kepada kami hampir selama lebih dua bulan sebelum diterima untuk mendiami asrama sekolah.

One thought on “Refleksi Perbukitan

  1. Taman Kampung Kuantan Klang adalah tempat saya didewasakan. Terletak di Klang Utara sebelum menyeberangi Sungai Klang. Dahulunya ia hanya merupakan tanah yang dirimbuni oleh pepohon kelapa dan berada di tebing Sungai Klang. Tidak jauh dari sini terletak sebuah tempat bernama Bukit Kuda yang pernah dinyatakan menjadi antara tempat yang mendapat ‘keteguran’ dari Sang Kelembai. Menurut cerita rakyat Sang Kelembai ini merupakan rasaksa yang apabila marah laungannya akan menyebabkan objek atau manusia serta haiwan yang ditegurnya menjadi batu. Mungkin ada benarnya Klang antara tempat yang tertua di mana wujud Sungai Rasah yang menjadi muara sebagai hentian laluan utama perjalanan air ketika itu dengan wujudnya kisah Batu Belah Batu Bertangkup.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s