Jejak Bunian

Apabila penceroboh mula bersuara

Muziknya sudah tidak merdu di telinga

Menghampakan saat mahu berkasih rasa

Diujarkan  bahawa rahsia peribadi dijaja ke dunia

Gerangan apakah ini wahai anakanda?

Tidak pernah kita beradu mata

Tidak pernah kita bertewas kata

Tidak pernah kita sudi berbicara

Alih-alih anakanda mengusul fakta

Tidak berasa aib rahsia diperdagangkan di persada nusa

Gerangan apakah ini wahai anakanda?

Apa yang menjadi sumbang hingga cemar budi bahasa

Apa yang menjadi bala hingga susila tidak berbudaya

Apa yang menjadi racun hingga tertuba rasa cinta

Apa yang menjadi resah hingga gelisah mengancam rasa

Apa yang menjadi radang hingga aktif berjariah diujar faktor penyumbang kemiskinan didakwa

Gerangan apakah ini wahai anakanda?

Berbagai muzik menjadi halwa telinga

Berbagai aksi idola menjadi tabah hati untuk tidak membenci

Berbagai hawa berahi menjadi sabar itulah iman berfungsi

Namun apakah lantaran menolak seorang bapa yang telah berusia

Anakanda mengusul kata bahawa tidak dihargai bakti dan jasa?

Keliru jadinya

Apabila harus ada rasa memaksa

Siapa yang membawa keaiban ke seluruh dunia wahai anakanda

Andai bukan keluarga sendiri yang melakukannya

Berteman rakan bersifat antarabangsa

Berteman fikir rakan sealiran putaran modal untuk wang dilaba

Rumah anakanda tidak akan dicari lagi alamat penanda

Jiwa orang muda tidak harus marah memeta minda

Kerana yang akan rugi adalah diri anakanda.

Hayat kita sudah semakin pendek

Anakanda masih mahu berlena leka

Gerangan apakah ini wahai anakanda?

Seakan peribadi menjadi cop mohor untuk beragenda

Tentang apa wahai anakanda

Tentang kecurangan?

Tentang perceraian?

Tentang pukulan?

Tentang mata yang pernah lebam?

Apakah sebenarnya wahai anakanda?

Tentang hutang?

Tentang imbuhan kekayaan?

Tentang karya yang diterjemahkan?

Apakah maknanya semua ini anakanda?

Andai bukan dinamakan sebagai kerendahan nilai insan bernama manusia?

Kita tidak akan menjadi mulia hanya kerana menolak seorang tua ?

Tua yang bagaimana wahai anakanda?

Tua menyembunyi miang kerana berahi?

Oleh cakera digital fotokopi dara sunti?

Tua menzahir haram kerana gah halal berjenama?

Tua kerana apa wahai anakanda?

Tua untuk kuasa?

Tua untuk idea dikongsi bersama?

Tua untuk menampan kemampuan membentuk pandangan?

Tua untuk dirasakan biarlah pengurusan tanpa keilmuan?

Belas, kerana penjagaan bapa anakanda menjadi tidak saksama.

Sujud itu perbuatan tonggang-tonggekkah anakanda?

Tidakkah ada lagi perumpamaan yang lebih sopan?

Untuk dirasakan anakanda berpendidikan?

Tidak begitu menzahir radang pantulan

Tidak begitu menunjukkan geram dendaman

Tidak begitu membuktikan kemajuan

Tidak begitu melunaskan keluhuran kesusilaan

Tidak begitu menyatakan kita ini bebas di zaman kemodenan

Hingga menjadikan anakanda khilaf berhitungan.

Betulkan semula kata-kata anakanda

Tidak indah gadis sunti melagakan jiwa hanya kerana berperasangka

Tidak pantas sujud itu dimaknakan sifat membuang masa

Anakanda tidak pernah tahu betapa tajamnya sebuah doa

Saat ia dipohon sewaktu kita bertonggang-tonggek sebagai hamba

Anakanda tidak pernah tahu betapa dekatnya hamba dengan Pencipta

Saat dipohon doa sewaktu kita bertonggang-tonggek merendah jiwa.

Anakanda jelas tidak biasa dengan perbuatan bertonggang-tonggek seorang hamba

Bukan tonggang tonggek atau beriba yang mengasah senjata anakanda

Bukan yang pernah kita tonton sedikit adegan pada Gubra

Diajarkan zina itu kelaziman

Bukan anakanda!

Tonggang-tonggek seorang muslim rukuk sujudnya

Dipandang dengan cahaya cinta

Diraih dengan kasih para malaikat

Disambar dengan cemburu oleh bidadari bidadara

Andai tanpa pernikahan anakanda terpadam hayat

Tonggang-tonggek seorang muslim

Melahirkan harapan

Melahirkan kekuatan

Melahirkan keimanan

Bukan kemiskinan

Bukan kemunduran

Bagaimana mampu anakanda memahami tanpa makanan mukminin masih di dalam kekenyangan?

Bagaimana upaya anakanda menyedari tanpa makanan mukminin masih di dalam kesyukuran?

Bagaimana boleh anakanda menghayati tanpa makanan mukminin masih di dalam kekuatan?

Andai ungkapan tonggang –tonggek itu diabaikan menjadi pelaras pembangunan.

Lalu aib mana yang anakanda mula menggemakan bicara?

Ini adalah catatan peribadi

Catatan tanpa ada penipuan

Catatan tanpa ada pemalsuan

Catatan tanpa ada perjanjian

Catatan tanpa ada persefahaman

Ini adalah catatan peribadi wahai anakanda.

Bukan catatan ditawar runding

Bukan catatan diundang ganding

Bukan catatan dimuafakat bimbing

Bukan catatan dipadam ambil seperti aksi seorang ‘maling’

Lalu

Apakah sebenarnya wahai anakanda?

Mahu menyemai benci amat mudah tidak sukar

Mahu membibit sangsi amat senang tidak sukar

Mahu kita menjadi seperti yang mana

Wahai anakanda?

Apabila semua dilabelkan kebendaan

Anakanda akan sering kehampaan

Hidup kita bertujuan

Bukan sekadar kroni suap-suapan

Bukan sekadar halal untuk makanan dan halal kepada perbuatan yang haram

Bukan anakanda

Kerana warisan secara tradisi seorang bapa

Kita menjadi tidak karuan

Dari mana ianya bermula

Dari penggalakan untuk dilahirkan usahawan

Rasuah sudah menjadi bukan kesalahan

Dari percaturan mahu digagas satu wawasan

Integriti sudah menjadi sekadar ungkapan

Dari pembogelan seorang anak saat menjadi banduan

Kepentingan mulai diuli diganding-gandingkan

Di mana undang-undang

Di mana perlembagaan

Di mana adil penghakiman

Di mana saudara dan rakan

Di mana jika bukan

Insan yang kita sebut pembangkang?

Nah kini kroni mahu diubah ungkap untuk pengertian modul

Bukan harta untuk dikongsi secara pukal dan cabul

Mengaibkan minda peradaban teknologi

Untuk dipertonton minda cemerlang yang tinggi

Oleh wawasan.

Memualkan

Bila hakikat ummat dijendelakan dengan kemusnahan

Sekadar kekayaan untuk siapa dipertaruhkan

Sekadar keselesaan gaya oleh citarasa kepenggunaan

Hutanghutang semakin dibebankan

Sudah melepasi kiraan 50 tahun

Bukan lagu-lagu yang mahu dipuitiskan

Bukan

Bukan gitar piano gabus drum mahu diungkitkan

Bukan

Namun hutang anakanda

Hutang seketurunan

Hutang sekurun zaman

Hutang oleh pindah milikan secara mudah tanpa sekatan

Hutang oleh berani simiskin menanggung risiko di bursa saham

Hutang oleh kad kredit sedang wang tidak dukup di tangan dan simpanan

Hutang anakanda

Hutang.

Mempercayai wartawan

Mempercayai sumbangan ilham penulisan

Mempercayai pencacai mencanai penipuan

Kita yang sebenar didungukan

Oleh petikan gambaran

Perasaan berkaryawan

Untuk kekayaan

Untuk keberanian

Untuk semangat kesejagatan

Untuk kemanusiaan

Dengan menjaja keamanan

Sedang tangan

Darah berlumuran.

Apakah dasar kualiti

Piagam Pelanggan yang menjadi pelarian?

Memastikan kes yang didaftarkan

Tanpa pernah dibicarakan?

Memandang dunia

Ia luas saujana memandang

Punca-punca kuasa

Telah diundang

Untuk menasabkan malang

Yang miskin terus mundur

Yang kaya terus termasyhur

Kita tidak berhasad

Kita tidak berdengki

Sebagaimana Bung Karno

Yang didakwa menyesali tidak dilahirkan sebagai bangsawan

Bukan

Ia kebertanggungjawaban

Amanah

Yang tidak dikhianah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s