Saksi-Saksi Bisu 1

WARKAH BUATMU

Kehendak hati untuk mengadakan interaksi dengan wanita tempatan tertunai apabila saya mulai menghadiri kelas pengajian yang dikendalikan oleh dua perkumpulan wanita Qatar ke arah menunaikan fardhu kifayah sesama masyarakat sebagai tanggungjawab sosial mereka bagi membantu untuk dicapai maksud tuntutan hidup bersyariah.

Ada dua pusat pengajian yang menawarkan kursus belajar berbahasa arab dan membaca Al Quran di kawasan tempat tinggal saya yang sepenuhnya dikendalikan oleh wanita-wanita tempatan.

Pusat pengajian yang terletak agak jauh dari kediaman saya dimiliki oleh kerajaan Qatar dan kelas diberikan secara percuma manakala sebuah lagi yang lokasinya terletak bersebelahan dengan kediaman saya adalah pusat pengajian yang diwakafkan oleh sebuah keluarga yang mengenakan bayaran tertentu bagi setiap kursus yang diikuti bagi menampung kos pengendalian.

Kedua-dua pusat ini merupakan villa dari jenis rumah banglo yang mempunyai ruang pejabat dan kelas yang besar selesa dengan set pembelajaran yang dilengkapkan dengan kemudahan peralatan ‘eletronik board’ yang digunakan di pusat pengajian Maryam.

Saya mengikuti kelas tajweed di pusat pengajian di Mozah Centre yakni asas membaca Al Quran manakala di Maryam Centre saya mempelajari asas bahasa arab.

Ia dianggap pilihan yang wajar memandangkan pada 21 November nanti genab tujuh tahun saya menetap di Qatar bersama suami dan anak-anak.

Ini berikutan kerana saya tidak pernah belajar tajweed dan tidak pernah mengikuti kelas tajweed secara formal.
Bacaan Al-Quran saya dibetulkan oleh teman-teman sewaktu kami menghadiri majlis ilmu setiap minggu tatkala saya masih bujang.

Seorang wanita kelahiran Syria yang juga merupakan ibu kepada salah seorang rakan baik anak lelaki ketiga saya telah menyediakan dirinya, hatinya dan mindanya malah raganya untuk memastikan saya berasa selesa berada di tengah masyarakat arab yang berbilang suku jurai dan etnik sifatnya dan pelbagai cara pembawaannya yang mana sesungguhnya diakui wanita arab mempunyai ego tersendiri yang sangat sukar ditempuh rintangannya bagi memastikan wanita seperti saya upaya diterima.

Banyak yang ingin saya katakan lantaran inilah pertama kalinya saya melangkah bersendirian tanpa ditemani oleh anak-anak untuk bertentang mata dengan wanita tempatan.

Saya mulai dengan menyusuri jiwa serta emosi sahabat saya wanita Syria ini terlebih dahulu, tanpa saya sentuh mindanya.

Bahasa perantara kami adalah bahasa inggeris yang tidak betul nahunya dan sesekali tidak benar makna yang dimaksudkan sehingga kami sering berbalas senyuman.

Apa yang terjadi ialah sahabat Syria saya memahami bicara saya dan saya memahami bicaranya cuma kami berhadapan dengan perbezaan pendirian terhadap perkara-perkara kecil yang tidak menjejaskan pertukaran pandangan antara kami bagi mengeratkan hubungan yang telah dimulai oleh anak-anak lelaki kami.

Dalam tempuh sehari saya mulai melepaskan satu-satu belenggu yang terbina di minda terhadap idea ketinggian ego wanita arab yang sering menjadi topik perbualan sesama kami.

Ia hampir luruh tatkala saya mengikuti kelas tafsiran dan hafalan sahabat Syria saya yang sepenuhnya dikendalikan di dalam bahasa arab.

Saya tidak boleh berbahasa arab. Namun saya memahami maksud huraian yang disampaikan oleh muallimah yang sepenuhnya berhijab menutup seluruh wajah bersihnya yang bercahaya.

Keserian wajahnya menutup rahsia sehingga saya sukar meneka usianya.

Terjemahan salah satu surah dari Juz Amma tidak dihuraikan berdasarkan ayat ke ayat sebaliknya ia ditelaah menerusi perkataan-perkataan dari petikan surah-surah dan selangkah demi selangkah ia diterangkan mengikut sifat lughah bahasa Al Quran yang mempertautkan bahasa arab sebagai bahasa yang mempunyai sifatnya yang tersendiri yang dimudahkan untuk difahami oleh mereka yang tidak boleh berbahasa arab.

Minda saya tersentuh tatkala mulai menghayati kasih sayang yang menjadi sifat bahasa ini.
Wujud sifat yang tersembunyi dari bahasa Al Quran ini yang menyentuh jauh ke dalam sanubari saya.

Kasih sayang.

Bahasa arab adalah bahasa untuk berkasih sayang kerana kasih sayang yang disampaikan oleh Al Quran adalah dari Penciptanya sendiri untuk hamba-hamba yang diciptakanNya.

Dengan sepenuh minda saya akui terbit secara tersembunyi kerendahan diri pada penuturan bahasa arab yang lafaz kalimahnya dituturkan menurut makhraj dari pembawaan kitab Al-Quran itu sendiri. Bahasa itu merendahkan sifat diri tatkala ia upaya melupakan siapa diri kita jika disertai tawadhuk untuk merenung ke dalam diri tatkala tersusun makna difahami.

Ia berlainan dengan bahasa pertuturan yang biasa didengari sehari-hari.

Santunnya berbeza dengan perbicaraan lisan yang lazimnya saya dengari.

Tiada nada kekerasan, tiada nada arahan yang sebelum ini menjadikan saya sesekali mencemuh bahasa arab yang dituturkan oleh masyarakat tempatan.

Terlalu keras lantang nyaring saat saya bersua dengan kemarahan ibu atau bapa atau khalayak belia remaja dan kanak-kanak di tempat awam sesama mereka atau tatkala terdengar perbualan sesama mereka di tempat awam. 

Tiada kedengaran sifat begitu seperti mana saat saya perlu berhadapan dengan pihak pengurusan yang menyambut kunjungan saya dan sahabat di pejabat pada pagi hari untuk pendaftaran. Sesama mereka petugas di pejabat saling berbicara dengan perlahan tetapi jelas kepada saya keberatan mereka membenarkan saya mengikuti kelas sahabat saya ekoran saya tidak boleh berbahasa arab. 

Mereka bermaksud baik bagi menjelaskan kepada sahabat saya yang bertegas mahu memasukkan saya ke kelasnya oleh kepekaan dengan ketidakbolehan saya memahami arahan atau penerangan mudah jika menggunakan bahasa arab.

Sementelahan pula kedudukan di antara kelas wanita yang bukan berbangsa arab dengan kelas wanita arab adalah berjauhan dan saya tidak mengetahui lokasi dan jalan menuju ke tempat yang ditetapkan oleh kerana pusat pengajian Mozah Centre itu sendiri agak besar.

Di situlah sering terjadi kekeliruan.

Salah faham dan salah memberi informasi serta khilaf untuk menyedari kelemahan mereka yang pertama kali menjejakki negara teluk (gagal menangani bahawa bukan semua arahan difahami oleh orang asing yang sebenarnya tidak mengetahui peraturan yang dikuatkuasakan dan gagalnya warga asing untuk menangani kekeliruan oleh kelemahan mereka sendiri yang sering membuat perbandingan pada pengalaman sendiri terhadap kebiasaan wanita tempatan dan peraturan yang dikenakan) menjadikan hari pertama saya berakhir dengan mengikuti kelas sahabat saya seperti yang dinyatakan di atas.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s